DAKWAH & KREATIVITI


Latihan - Kenal pasti corak pemikiran anda!

Pada zaman dahulu, seseorang yang gagal untuk membayar hutang boleh dimasukkan ke penjara. Seorang saudagar bernama Jamal telah meminjam wang daripada seorang tua yang bakhil. Apabila tiba masa untuk membayar hutang itu, Jamal tidak mempunyai wang. Orang tua itu pula menaruh hati terhadap anak perempuan Jamal. Lalu beliau mencadangkan supaya Jamal mengahwinkan anaknya dengan beliau.


Jamal menjadi risau memikirkan hal tersebut. Beliau merayu kepada orang tua itu. Akhirnya, orang tua itu mencadangkan supaya satu cabutan dilakukan untuk menyelesaikan masalah itu. Beliau akan meletakkan sebutir batu putih dan sebutir batu hitam dalam sebuah uncang dan anak Jamal akan diminta untuk mencabut sebutir batu dari uncang berkenaan.


Sekiranya anak Jamal terpilih batu putih, maka dia akan bebas dan hutang Jamal dimansuhkan. Tetapi sekiranya terpilih batu hitam, maka ia terpaksa berkahwin dengan orang tua tadi. Jamal bersetuju dengan tawaran itu.


Pada hari yang telah ditetapkan, mereka bertemu untuk membuat cabutan sebagaimana yang dipersetujui. Anak perempuan Jamal terkejut apabila beliau ternampak kedua-dua batu yang dimasukkan oleh orang tua itu adalah batu hitam, bukan sebutir batu hitam dan sebutir batu putih sebagaimana yang telah dipersetujui.


Apakah yang patut anak Jamal lakukan? Beliau tidak boleh mendedahkan penyelewengan yang telah dilakukan oleh orang tua itu kerana ia mungkin merbahayakan ayahnya.


Seorang yang mempunyai cara pemikiran yang menegak akan melihat bahawa anak Jamal mempunyai hanya dua alternatif, iaitu:

1) Anak Jamal boleh tidak memilih batu daripada uncang itu dan akibatnya Jamal akan dipenjara.

2) Beliau boleh mengambil batu dari uncang itu dan terpaksa berkahwin dengan orang tua itu.

Kelemahan yang ketara ialah sikap yang terlalu bergantung kepada langkah mengambil batu dari uncang sebagai penyelesaian kepada masalah. Inilah dikatakan terlalu bersandar kepada penggunaan satu definisi dalam menyelesaikan masalah sahaja.


Mereka yang mempunyai pemikiran mendatar akan cuba melihat masalah ini dari pelbagai perspektif.

Dalam kisah di atas, anak Jamal boleh menyelesaikan masalah yang dihadapinya dengan mengambil sebutir batu dari uncang itu dan cepat-cepat menjatuhkannya ke tanah. Kemudian anak Jamal berkata kepada orang tua itu,

“Oh maaf di atas kecuaian saya. Encik tengoklah ke dalam uncang itu. Sekiranya yang tertinggal adalah batu hitam, maka batu yang saya ambil tadi ialah batu putih.”


Dengan pemikiran yang kreatif, anak Jamal telah berjaya menukar satu keadaan yang kemungkinan kejayaannya ialah 0 % kepada keadaan yang mempunyai 100 % kemungkinan kejayaan.


Pemikiran Kreatif Sahabat Rasulullah.

Satu peristiwa dalam sirah Rasulullah menunjukkan bahawa Ali r.a adalah seorang sahabat yang amat kreatif. Pada suatu hari, Rasulullah bertanya kepada para sahabat, siapakah di antara mereka boleh membaca seluruh Al-Quran dalam masa satu hari. Hanya Ali menjawab bahawa beliau mampu melakukannya.


Apabila ditanya bagaimana beliau mampu melakukannya, Ali menjawab beliau membaca Surah Al-Ikhlas tiga kali sehari, kerana pahala tiga bacaan Al-Ikhlas adalah bersamaan dengan seluruh Al-Quran.


Pendakwah Mencipta Perjalanan Sejarah

Pendakwah tidak seharusnya berfikir secara statik seperti kaedah menegak yang disebutkan tadi. Sebaliknya, mereka mestilah lebih kreatif dan terbuka. Perkara ini lebih penting jika kita melihat tujuan dakwah yang ingin membawa perubahan dalam masyarakat. Usaha merubah masyarakat sudah tentu akan menjadi rumit sekiranya kita tidak memahami arah yang sedang dituju oleh masyarakat. Pendokong dakwah mestilah mampu melihat senario yang mungkin muncul pada masa hadapan.


Sejarah manusia merupakan peristiwa-peristiwa penting yang mempunyai kesan terhadap kehidupan ini. Mereka yang mencipta sejarah mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakan mereka dengan manusia lain yang hidup pada zaman mereka.


Kenapakah kita masih teringat akan nama-nama seperti Ibnu Taimiyah, Abdullah ibn Mubarak, Al-Ghazali dan Ahmad Ibn Hambal sedangkan ramai lagi ulama'-ulama' lain yang hidup sezaman dengan mereka? Tiada lagi faktor lain melainkan sumbangan mereka yang telah banyak mempengaruhi perjalanan sejarah. Mereka telah berjaya melihat arah perjalanan masyarakat lalu mengambil tindakan mengubahnya apabila mereka menuju arah kesesatan dan kemusnahan.


Para pendakwah perlulah ingat bahawa tugas mereka adalah untuk mempengaruhi perjalanan sejarah dan bukan sekadar menjadi penonton kepada sejarah sahaja. Untuk memainkan peranan ini, mereka perlu mempunyai pemikiran yang tajam, sensitif dan kreatif.


Sumber penulisan: Pengurusan Dakwah oleh Rozhan Othman (1990)

1 Comment:

  1. Nisa' Penang said...
    artikel yang sangat menraik :) tahniah Nisa' Gombak

Post a Comment