Gejala pelajar merokok serius – tajuk satu laporan khas Utusan Malaysia bertarikh 9 Feb 2009, kelmarin. Laporan memperlihatkan gambar pelajar dengan uniform sekolah, mengeluarkan kotak rokok dari kocek seluar lalu menyalakan puntung rokok dengan muka selamba, seolah-olah perbuatan itu tidak salah. Sungguh, rokok ibarat ‘pencuci mulut’ sebelum masuk ke kelas atau ‘penawar’ menghilangkan stress dan kebosanan belajar.


Mengulum gula-gula getah atau mengunyah keropok menjadi rutin harian zaman kita bersekolah dahulu. Walau guru melarang kerana tiada kesan kebaikan dari aspek kesihatan, tetapi ia tidak sampai menjadi kebimbangan. Berbeza dengan zaman ini, tabiat merokok menjadi punca yang memberanakkan kebejatan sosial yang menakutkan. Antaranya dadah dan AIDS yang bermula dari ketagihan merokok. Namun amat menyedihkan, gejala membunuh ini tidak dianggap suatu barah sosial yang menggerunkan tetapi satu tabiat yang harus dibangga-banggakan.


“Memang dah biasa macam ni bang. Kalau hisap rokok baru orang nampak ’macho’. Orang nampak besar dan matang”, kata Bob selamba ketika ditanya oleh seorang wartawan utusan.


Kematangan. Sepatutnya istilah ini amat membuncah dalam benak kita. Di manakah kedudukan matang andaikata gejala ini menyebabkan pelajar tersangkak awal dan gagal mengenderai kehidupan? Matangkah dengan berani mencuba rokok, merasa diri seakan orang dewasa ketika asap berkepul-kepul keluar dari hidung? Macho atau matangkah seorang pelajar bila mana dia menjadi penyumbang utama kepada pembaziran lebih 8 juta sehari daripada tabiat merokok itu? Persepsi songsang yang harus diperbetulkan.


Menurut Penolong Pengarah Kanan Kawalan Tembakau dan FCTC, Kementerian Kesihatan, sebanyak RM 8.59 juta dihabiskan oleh kira-kira 2.73 juta rakyat negara setiap hari untuk membeli rokok dan angka itu bersamaan dengan kos untuk membina sebuah klinik kesihatan. Sekurang-kurangnya 50 pelajar baru merokok setiap hari dan angka itu bersamaan 18,250 setahun. Pembaziran yang sengaja dan sia-sia.


Perokok-perokok pelajar sudah mengenal pasti lokasi selamat di dalam kawasan sekolah untuk merokok. Biasanya di dalam stor atau belakang sekolah. Bagi perokok tegar, boleh menghisap rokok di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja asal dapat melepaskan gian.


“Kita memang kaki hisap rokok. Kalau kena tangkap, biasanya dirotan saja. Bagaimana nak suruh kita berhenti rokok kalau cikgu sendiri hisap rokok”, ujar seorang pelajar lagi.


Malah, ada pelajar perempuan yang mencuba menghisap rokok apabila melihat keasyikan bapanya seorang perokok tegar merokok dihadapannya. Katanya, jika rokok mahal, minta saja pada ayah dan katakan nak beli rokok.



Keadaan ini memperlihatkan tabiat merokok semakin merujai golongan wanita. Hasil tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan pada 2006 mencatatkan 2.61 juta perokok lelaki (95.6 peratus) dan 120,000 perokok wanita (4.4 peratus). Walaupun peratusan ini nampak kecil, namun tidak mustahil peningkatan angka akan terus berlaku. Taraf wanita yang mahu disamakan dengan lelaki turut terjejer pada perihal sosial dan akhlak. Mereka juga mahu merempit, merokok, menghisap dadah, dan menjadi gangster asal ‘menghiburkan’. Kerana ‘hiburan’ sebegini seakan pengubat lara hati terhadap leteran ibu, tengkingan ayah dan rotan guru di sekolah.


Hampir 20 juta dibelanjakan untuk kempen katakan ‘tak nak’ pada rokok. Namun perkataan ‘tak nak’ hanya terpapar pada bahan kempen tetapi gagal dijelmakan dengan tindakan perokok. Sebagai susulan, kerajaan akan memaparkan enam gambar paling menakutkan di kotak rokok akibat menghisap rokok tidak lama lagi. Adakah elemen menakutkan ini boleh menjadi instrumen mendidik yang paling berkesan? Pada saya, ia dinilai berkesan apabila ketakutan tersebut berjaya diterjemahkan pada dua bentuk iaitu ’takut sakit’ dan ’takut dosa’.


Kes-kes di atas menunjukkan rumah dan sekolah adalah lokasi paling awal untuk kempen anti-merokok. Kempen ini tidak perlukan modal berjuta-juta cuma mewujudkan satu kombinasi usaha ke arah pemugaran semula prinsip akhlak dan moral. Modalnya adalah moraliti, penggerak kempennya adalah ahli rumah dan guru-guru, silibusnya adalah Pendidikan Islam yang dikaji semula dan metodologi dakwahnya adalah uslub mauizah (nasihat dan peringatan). Usaha ini dimurnikan lagi apabila guru dan ibu bapa mampu menjadi instrumen pengawalan dan moraliti yang boleh dicontohi.


Menurut Malik Ben Nabi, saluran pendidikan sahaja yang dapat menyelamatkan masyarakat khususnya remaja terhadap fenomena ngeri ini. Unsur pendidikan yang paling penting untuk ditekankan ialah kembali kepada ‘akar’ Islam itu sendiri. Pastinya ’akar’ yang kukuh dipantakkan oleh benih-benih Islam yang disemai baik oleh ibu bapa dan guru-guru. Mereka bukan sahaja mualim yang berbicara ilmu tetapi berperanan sebagai murobbi yang mampan didikannya.


Menurut as-syahid Murthada Mutahhari, menghidupkan agama tidak lain tidak ialah dengan bekerja keras menghidupkan sunnah Rasulullah dan menghancurkan segala bentuk kekarutan. Umat Islam khususnya remaja yang bakal melangkah ke alam dewasa harus menyedari bahawa Islam tidak membenarkan kejahilan, kelemahan dan kelumpuhan budaya dan persekitaran.


Sesungguhnya jika kita memerhatikan sejarah umat terdahulu, kerosakan yang berlaku adalah dalam bentuk yang satu, iaitu pemutusan hubungan antara manusia dengan tuntutan wahyu atau pemungkiran manusia atas kekuasaan Allah S.W.T.


Nisa' Mahu Melahirkan Generasi Muda Yang Sakit?


Persoalannya, apakah peranan yang perlu dilaksanakan oleh Nisa' untuk mendekati golongan perokok pelajar perempuan atau perokok wanita? Bukan setakat mendekati tetapi menyalurkan informasi pendidikan di samping membantu ke arah perubahan kendiri mereka.


Mereka akan mendekati kita lalu ke program anjuran kita? Mustahil.


Kita perlu mendekati mereka dan memandu mereka ke program kita? Ini tidak mustahil.


Kebanyakan program Nisa' menyasarkan sasaran dakwah yang baik-baik sahaja. Rasanya tidak ada perokok yang berminat untuk ke program ceramah, forum, bengkel pengurusan, kem ibadah, Indoor Games, lawatan ke pusat kebajikan, apatah lagi melaksanakan agenda dakwah di kawasan orang asli. Pendekatan dakwah terhadap golongan sebegini memerlukan usaha keras tanpa putus asa, kreativiti, pandai memikat, satu kepala dan paling penting kemahiran psikologi yang tinggi. Kita harus pandai 'mengorat'.


Isu rokok tidak boleh dipandang ringan. Tidak keterlaluan jika dilabelkan rokok ibarat 'ibu' gejala sosial remaja dewasa ini. Kebanyakan remaja merokok kerana tekanan yang menghambat kehidupannya sama ada tekanan yang wujud di rumah atau sekolah. Maka, hasil tekanan ini turut menjalar pada kelumpuhan sosial yang lain seperti dadah dan merempit. Biasanya, golongan remaja perokok akan gagal dalam pemilihan rakan sebaya. Rakan sebaya mereka juga seorang perokok.


Takkan Nisa' mahu melahirkan generasi muda yang sakit serba serbi? Sakit jiwa, sakit mental dan sakit fizikal. Generasi yang sakit kerana rokok....

Fikirkanlah....


Artikel asal di sini


Oleh: 3N (Nisa' News and Networking)


0 Comments:

Post a Comment