NISA' TEEN CIRCLE

Nisa’ Gombak berhasrat untuk mengadakan sebuah program yang diberi nama Projek Nisa’ Teen Circle yang bertemakan ”Nisa’ 3D: Develop, Determine & Devotion” yang melambangkan komitmen Nisa’ untuk membentuk dan mengasah peribadi remaja Muslimah disamping mengajak mereka ke arah pengabdian diri kepada Allah bagi merealisasikan impian menyemarakkan dakwah dan biah solehah di kalangan massa yang menfokuskan golongan beliawanis khususnya dan belia amnya.


(klik banner untuk paparan yang lebih besar)

Objektif

Nisa’ Gombak menjadi persatuan yang tetap dalam memberi pengetahuan agama kepada remaja sekitar Gombak.

Program ini juga akan menjadi medan kepada aktivis Nisa’ menyedari tanggungjawab terhadap masyarakat dan golongan remaja yang dahagakan perhatian.

Dan mendedahkan kepada aktivis Nisa’ cabaran dan peranan sebenar mereka dalam agenda memasyarakatkan dakwah Islamiah.

Matlamat akhir yang ingin dicapai dalam projek ini adalah untuk membawa remaja-remaja tersebut mengikuti pentarbiyahan secara khusus agar hasrat untuk memurnikan agenda dakwah umum itu terlaksana.


Sasaran:

20 ahli berdaftar Nisa’ Gombak akan dipilih untuk Projek Teen Circle.

80 Remaja/belia perempuan sekitar Gombak berumur 15 – 30 tahun


Berminat?

Anda boleh mendaftarkan penyertaan kepada mana-mana AJK Nisa' Gombak atau menghubungi Hidayah (o13-7473532) atau Mashitah (013-2552467).

Penyertaan adalah terhad. Daftar segera.

Menegur itu berjiwa besar

Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya

Hai orang-orang yang beriman, perangilah orang-orang kafir yang di sekitar kamu itu, dan hendaklah mereka menemui kekerasan daripadamu, dan ketahuilah, bahwasanya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.

-At taubah, 122-123



Firman ALLAH Az Zawajalla di atas memperingati tentang suatu kepentingan lain selain jihad di medan peperangan, iaitulah saling memperingati. Di dalam surah 'Abasa (Ia bermuka masam), surah ke 80 yang mempunyai 42 ayat adalah merupakan teguran dari ALLAH swt buat kekasihNya.

Seperti di riwayatkan oleh at-Tirmidzi dan al-Hakim yang bersumber dari 'Aisyah. Diriwayatkan pula oleh Ibnu Ya'la yang bersumber dari Anas

Dikemukakan bahwa firman Allah S.80:1 turun berkenaan dengan Ibnu Ummi Makitaum yang buta yang datang kepada Rasulullah saw. sambil berkata:

'Berilah petunjuk kepadaku ya Rasulullah.'

Pada wakitau itu Rasulullah saw. sedang menghadapi para pembesar kaum musyrikin Quraisy, sehingga Rasulullah berpaling daripadanya dan tetap mengahadapi pembesar-pembesar Quraisy. Ummi Makitaum berkata:

'Apakah yang saya katakan ini mengganggu tuan?'


Lalu Rasulullah saw menjawab:

'Tidak.'



Surah 'Abasa di dalam ayat 1-10 turun sebagai teguran atas perbuatan Rasulullah saw terhadap ummi makitaum tadi.

Jelas disini bahawa budaya tegur menegur ini merupakan salah satu amalan antara ALLAH swt dan para penjunjung agamaNya (nabi dan rasul) yang mana harus menjadi suatu amalan bagi kita semua yang mahu belajar (malah manusia sentiasa belajar sebenarnya).

Kepentingan budaya ‘saling mengingati’ ini juga merupakan tunjang kepada kefahaman terhadap ilmu-ilmu ALLAH swt seperti yang terdapat di dalam firman lanjutnya pada surah di atas ayat 11.


‘Sekali-kali jangan (demikian)! Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan’
-Surah 'Abasa, 11


Dan banyak lagi firmanNya di dalam alquran yang menegur dan menekankan kepentingan budaya menegur dikalangan manusia.

Cuma perihalnya kini adalah kepada perlaksanaan. Bagaimana? Untuk apa? Kepentingan atau intipati teguran? Impak dan sebagainya. Sungguh Islam punya aturan untuk setiap inci perkara dalam kehidupan umatnya, walau hanya sekecil perkara.


HUKUM

Para ulama menyatakan bahawa orang yang menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran itu tidak semestinya meninggalkan maksiat. Ertinya, tidak menjadi masalah menunaikan suruhan amar makruf nahi mungkar walaupun seseorang itu melakukan maksiat.

Ia sebenarnya merupakan Tangungjawab manusia dalam soal mencegah kemungkaran, sementara maksiat kita yang dibuat pula tetap merupakan suatu dosa yang dikenakan ke atas perbuatan itu.

Maksudnya disini, jangan terlalu merendah diri sehingga tanggungjawab yang 1 itu tidak dilaksana kerana rasa diri ni banyak dosa. Namun dalam masa yang sama, kita tetap perlu memperbaiki diri.

Menurut hukumnya sah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu berlaku di kalangan orang yang melakukan maksiat.

Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "sesungguhnya kadang kala Allah menolong agama ini dengan perbuatan baik yang dilakukan oleh orang jahat."

Ini kerana apabila orang baik tidak berani, Allah jadikan orang jahat mencegah kemungkaran supaya penduduk sesuatu kampung itu tidak diturunkan bala.

Dinyatakan antara sebab turunnya bala ke atas umat zaman dahulu kerana tidak ada di kalangan mereka orang yang mencegah kemungkaran.

Tetapi, islam tidak menafikan peri pentingnya seseorang yang mengajak kearah kebaikan untuk terus berusaha melakukan kebaikan. Pepatah barat mengatakan ‘Walk your Talk’


1

Disebut di dalam hadis sahih di dalam kitab Riyadhus Solihin bahawa terdapat seorang lelaki pada hari kiamat, perutnya panjang berjela-jela dan diikat pula pada penunggul.

Kemudian perutnya diheret menggelilingi penuggul tersebut seperti beruk mengheret tali di sekelilingnya.

Manusia mengerumuni mereka seraya bertanya,

'kenapa kamu dijadikan sedemikian rupa sedangkan di dunia dahulu kamulah orang yang sedap bercakap dan kamu ini seorang ustaz yang kerja kamu mencegah orang daripada melakukan maksiat dan menyuruh mereka melakukan kebaikan?'


Lalu dia menjawab,

'aku menyuruh orang buat baik tetapi aku sendiri tidak melakukannya. Inilah balasan yang Allah berikan kepada aku'


TUJUAN MENEGUR

1

Menegak kebenaran tetapi haruslah dengan kesabaran

Si penegur atau tukang pemberi nasihat perlu jelas bahawa perbuatannya hanya satu;

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.

-Surah al-Ashr, 3


Jadi haruslah kedua-dua si penegur dan yang ditegur jelas akan perihal teguran ini hanya untuk menegakkan kebenaran, dan kebenaran yang tertegak itu hasilnya kadangkala lambat, lalu perlulah bersabar dan bersikap positif. Ini lah konsep yang diketengahkan di dalam kitab ALLAH Al Quran, “fasta3inul bil sobri wal solah”.


2

Menegur kerana Haq bukan kerana tidak puas hati

Perlu di teliti kenapa mahu menegur, benarkan kerana itu kebenarannya atau sebab diri sendiri tidak berpuas hati? Berhati-hatilah kerana disinilah selalunya timbul kesalahfahaman, yang mungkin menyentuh sensitiviti ke atas sesuatu perkara.


3

Menegur walau sakit

Rasulullah saw bersabda;

‘Sampaikanlah yang benar itu walau ia pahit’

-Muttafakun alaih


Realitinya, kebenaran, walau pahit kadangkala, perlu disampaikan segera. Ini kerana sesetengah keadaan itu memerlukan kebenaran pada waktu itu juga untuk menatijahkan kebaikan pada semua.


CARA MENEGUR OLEH RASULULLAH SAW (SBG KUDWAH HASANAH)

Firman ALLAH swt dalam surah an-nahl, 125;

'Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik…'


Merujuk kepada tafsiran Imam al-Qurtubi, beliau menyebut bahawa ayat ini menyuruh para daie supaya menyebarkan da’wah serta memberi nasihat kepada ‘orang-orang Islam’ secara khususnya dengan cara yang penuh bijaksana, lemah lembut dan berstrategi. Para daie mestilah menjauhi sifat kasar dan keras ketika menegur dan memberikan nasihat agar orang yang ditegur tidak merasa malu dan melarikan diri sekaligus matlamat da’wah jauh dari realiti dan tidak terlaksana.

Al-Qurtubi menambah lagi bahawa hukum menasihati dan menegur sesama muslim secara lemah-lembut dan bijaksana ini kekal sehingga hari kiamat.

Sirah Rasulullah saw mencatit pelbagai peristiwa teguran Rasul kekasih ALLAH swt ini kepada orang yang berbeza dengan kaedah berbeza.

Masih ingat kisah seorang lelaki yang datang meminta izin baginda untuk berzina?

Lalu apakah respon baginda? Adakah Rasulullah saw mencerca atau memukul atau memaki-hamun lelaki tersebut? Bahkan Rasulullah bertanya lelaki itu kembali, “Adakah engkau suka lelaki lain berzina dengan ibumu atau kakakmu atau adik perempuanmu?” Jawab lelaki itu: “Aku tidak suka ya Rasulullah,” Lantas baginda berkata dengan lembut: “Begitu juga dengan orang lain, mereka juga tidak suka jika engkau berzina dengan mana-mana wanita di kalangan kerabat mereka.”

Itulah dia antara uslub atau kaedah Rasulullah saw menegur dan berdakwah kepada orang lain. Lalu mengapa kita sering memandang enteng tips-tips yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Kenapa kita sering ‘berkasar’ ketika menegur saudara-saudari kita sesama muslim? Gunakan budaya menegur sebagai perantaraan untuk menambah kawan dan taulan bukan untuk mencari musuh dan pergaduhan.


Malah ALLAH Az Zawajalla sendiri berfirman;

Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.

-Ali 'Imran:159


Dan rasulullah bersabda;

المسلم من سلم المسلمين من لسانه ويده

"Muslim itu adalah seorang yang menyelamatkan(atau menyejahterakan) muslim yang lain dengan lisannya(percakapan) dan tangannya"



ADAB MENEGUR (DO’s and DON’T)



1

Adab memulakan teguran

Panggillah dengan apa-apa gelaran yang sesuai, berhentilah merendah-rendahkan orang lain, teruskan berkongsi kerana ia sangat penting buat kita.

Panggillah Abang (bagi yang sudah halal ikatannya), Pakcik, Makcik, atau apa jua panggilan sekalipun yang melembuntkan hati kepada mereka yang lebih tua. Juga panggillah Anakku, cahaya mataku, Ibuku, ayahku, atau jua kesukaan yang mententeramkan jiwa kepada jiwa pemuda-pemudi kita. Agar keduanya tidak terabai dari menerima kebaikan dari manfaat ditegur.


2

Alternatif baik: sampaikan idea dalam teguran

Contohnya memulakan ayat seperti

“Ya habibati, ana fikir sepatutnya begini begini…”

Ataupun dalam bentuk cerita atau qias.


3

DON’T : ‘Holier than thou’ / ‘Gua’ lagi mulia dari ‘lu’

Amat menakutkan sekali golongan ini yang menegur dek kerana memikirkan diri itu mulia. Iya, mungkin ada benarnya kata-kata seseorang yang menegur, tetapi harus di ingat bahawa kita tidak mungkin mulia jika niat kita terpesong sedari awal.


Bukankah ALLAH swt ada berfirman dalam surah Al-Hujuraat ayat 13;

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.



Lalu mana kita tahu amalan siapa yang lebih tinggi darjatnya? Mana kita tahu amalan siapa pula yang diterimaNya. Jadi, diingatkan di sini agar kita buat usaha kita sebagai manusia (salah satunya tanggungjawab menegur ini) dan tinggalkan urusan selebihnya kepada Allahu subhanahu wa ta’ala (ALLAH yang maha Haq menilai iman dan taqwa seseorang).



TEGURAN DAN JIWA BESAR, SABAR DAN HUSNUDZON YANG TINGGI


Teguran itu ada kaitannya dengan penerimaan hati dan jiwa. Manusia berhubungan dengan perasaan. Perlu tulus dan ikhlas. Lainnya, perlu banyak sabar dan bersangka baik terhadap orang yang ditegur. Jelas dahulu dengan kekusutannya, baharu disusun kata dalam nasihat.

Di sini selalunya timbul masalah apabila kita kurang sabar dalam memerhati perubahan seseorang setelah di tegur. Contohnya isu yang bertunas dikalangan para daie dan badan jemaah, apabila seorang ahli punya nilai yang sedikit lemah seperti dalam cara beroganisasi atau permasalah umat yang bertunjang kini iaitu cinta anta anti. Ramai yang pasti mengutuk ‘kedegilan’ mereka untuk menerima teguran sedangkan mereka hidup dalam jemaah yang roh tarbiyyahnya kuat.

Mengulas sedikit tentang isu ini, terdapat ulasan dari Syeikh dr. yusuf al-qardhawi bahawa;

'Mereka yang berpenyakit hati (cinta dunia) ini seperti pesakit yang menghdp suatu penyakit. Lalu tentu penyakit dan ubatannya berbeza mengikut jenis dan tahapnya. Namun bg pesakit apa yang lbh penting sbnrnya adalah perhatian para doctor (pengamal perubatan) yang memberi motivasi, sabar dalam mengubati dan hemah dalam berhadapan dengan pesakit. Lalu para daie, haruslh belajar memahami situasi penyakit hati dan bersabar srta berhemahlah dalam mengubati'



Dari Ja’far bin Muhammad kepada anaknya:

‘Wahai anakku, siapa di antara teman-temanmu yang marah kepadamu sebanyak tiga kali, dan yang dikatakannya adalah kebenaran, maka jadikanlah ia teman.’



Dan dari Al-Hasan bin Wahab pernah berkata:

‘Di antara hak-hak mencintai adalah memberi maaf terhadap kesalahan teman, dan menutup mata atas kekurangannya. Itu pun jika ada.’



Seorang ahli ilmu balaghah pernah berkata yang di petik di dalam buku La tahzan karangan Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni:

‘Janganlah kerana satu aib tersembunyi atau dosa kecil yang sebenarnya dapat ditutupi oleh kebaikannya yang lebih banyak, anda menjadi jauh dari seseorang yang pernah anda puji latar belakangnya, yang pernah anda terima kehidupannya, yang pernah anda ketahui kemuliaannya, dan yang pernah anda ketahui kemampuan berfikirnya. Sesungguhnya engkau selamanya tidak akan mendapat teman yang bersih tanpa kelemahan dan tidak pernah melakukan suatu kesalahan.’


Oleh itu cerminlah pada dirimu sendiri sesudahnya; pertimbangkanlah ia dengan pandangan yang objektif; dan janganlah kamu menilainya dengan pandangan seenakmu. Sesungguhnya pertimbanganmu terhadapnya dan penilaianmu kepadanya akan membantumu untuk mendapatkan apa yang engkau inginkan dan membuatmu bersikap penyantun terhadap orang yang berbuat kesalahan.”



DOA


1

Doa Agar Difasihkan Lidah dan Dilapangkan Dada untuk Berkomunikasi

Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku. Dan mudahkanlah bagiku, tugasku. Dan bukakanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham perkataanku.

-Surah Taha ayat 25-26


Amalkan ayat ini di permulaan ucapan untuk mendapat kekuatan menyampaikan hasrat hati kepada sesiapa sahaja terutamanya jika dipilih menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menyampaikan ucapan dan peringatan kepada masyarakat atau pekerja. Keterangan ayat ini boleh dirujuk daripada kisah Nabi Musa Alaihissalam.


2


Doa Memohon Ditambah Ilmu

Wahai Tuhanku! Tambahkan ilmuku.

-Surah Taha ayat 114


Ayat ini tidak terbatas untuk orang yang menuntut ilmu secara formal (menuntut ilmu sebenarnya selagi hidup bernafas takkan berakhir) malahan untuk orang yang sedang berkomunikasi dan berinteraksi. Sebab apa? Sebab mereka terkadang sukar menyampaikan idea dalam perkataan yang mudah, maka eloklah ayat ini dibaca untuk memohon dipermudahkan penyampaian maklumat. Doa ini juga disarankan untuk mengelakkan silap dan salah faham dalam hubungan suami isteri, kawan-kawan dan jug adalam perdebatan. Menurut At Tibi, ayat ini diturunkan agar Ar Rasul SAW fokus terhadap makana sebenar dari ayat-ayat Allah diturunkan kepada baginda dalam penurunan Al Quran sesuai dengan keadaan semasa. Wallahualam, Allah jua yang lebih mengetahui.


3

Doa Memohon Dijauhkan Angkara Kezaliman

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah bagi kaum yang zalim. Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu daripada angkara kaum yang kafir.

(Surah Yunus ayat 85-86)


Wallahu’alam bissawab


Oleh: Unit Nisa' 3N (Nisa' News and Networking)

;;