Senyum Orang Asli

S/U Nisa' Gombak, Kak Long sibuk mendaftar Nisa' di Buku Pelawat


Alhamdulilah syukur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Pencipta Langit dan Bumi dan segala Makhluk Nya.

Nisa' Gombak berjaya menjalankan salah satu visi kami bagi tahun ini dalam menjalin hubungan ukhuwah dan kemanusiaan bersama-sama masyarat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

Sesi lawatan ke Perkampungan Orang Asli Hulu Kemensah, Hulu Kelang baru-baru ini berjaya membuka satu ruang baru kepada Nisa' Gombak dalam proses mengenal dan membantu segala yang termampu bagi merealisasikan hasrat remaja dan wanita yang mencintai segenap lapisan masyarakat tanpa mengenal kaum dan agama.


Wajah-wajah gembira Ibu-ibu Orang Asli Kemensah


Terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Tuan Haji Saari bin Sungib selaku Adun Hulu Kelang yang meluangkan masa bersama-sama kami melawat Perkampungan Orang Asli ini yang merupakan penduduk kawasan beliau. Cenderahati dan sedikit peruntukan makanan diberikan kepada penduduk orang asli ini adalah hasil sumbangan dan keperihatinan Y.B Saari.



Y. B Tuan Haji Saari Sungib dan Isteri, Puan Aliza

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Penduduk Orang Asli Hulu Kemensah dan Tok Ibak selaku Tok Batin yang sudi menerima lawatan kami dengan penuh senyuman. Melihat sambutan dan keramahan mereka yang begitu mesra menjadikan kami terhibur dan mudah-mudahan visi ini di terima Allah s.w.t . Inshallah hasil dari sambutan yang mengalakkan ini , kami bercadang akan mengadakan satu program susulan bersama-sama anak-anak orang Asli dan remaja mereka yang tampak kurang bergaul dengan masyarakat luar.


Anak-anak Orang Asli yang kepingin ke Zoo Negara. Kita gi yer nanti dik !

Semoga usaha yang sedikit ini diberkati Allah s. w .t sebagai salah satu langkah dakwah dari kami Nisa' Gombak. Wassalam.

Untuk paparan poster lebih besar, sila klik gambar


Untuk mengetahui tentang Nisa Small Kindness boleh klik webnisa ini


Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah syukur kehadrat Ilahi, segala puji bagiNya yang memudahkan segala urusan pihak kami dalam menyusuri pelbagai cabang jalan dakwah kami dan sekali lagi kami berkesempatan merancang satu aktiviti Small Kindness (Sumbangan Kecil) sebagai salah satu usaha mengungkap keberadaan pelbagai lapisan masyarakat.

Alhamdulillah, hari ini (21 Mei) dua orang wakil Nisa' dan dua orang wakil pejabat ADUN Hulu Kelang telah pergi melakukan tinjauan awal ke Perkampungan Orang Asli Kemensah, Hulu Kelang, Selangor, bagi mengenalpasti jumlah dan bilangan keluarga bersama isi rumah di pos berkenaan. Pertemuan awal bersama Tok Batin dan beberapa wakil penduduk telah memberi gambaran awal tentang keperluan asasi semasa yang mungkin mampu kami hulurkan buat para penduduk.

InsyaALLAH, hari Sabtu ini, bersamaan 23 Mei 2009, kami akan melakukan lawatan yang lebih berbentuk ziarah bersama kesemua ahli Nisa' yang berkelapangan dan beberapa ahli ADUN Hulu Kelang terutamanya, YB. Dato' Shaari Sungib dan isteri beliau.

Harapan kami, dengan lawatan ini, sedikit sebanyak mampu memberi kesedaran bahawa kenikmatan kehidupan di dunia ini perlu dikongsi sama rata oleh kesemua penduduknya. Walau di ceruk mana sekalipun manusia itu tinggal, hak merasai nikmat dan anugerah ALLAH swt itu tetap sebahagian miliknya.

Semoga perancangan awal kami ini sentiasa dipermudahkan oleh ALLAH swt dan perjalanan program kami akan berada di bawah lindungan Nya.

Wallahua'lam

Wassalamualaikum warahmatullah

Disediakan oleh: Unit 3N Nisa' Gombak

Terima kasih Teman


Sekitar kehidupan
bukan apa yang manusia inginkan
ia landasan menuju redha Tuhan
bahagia dan duka
ia rencam hidup insan
menguji ampuhnya iman
seorang terkadang gugah
bersama itu mampu meraih tabah
ini
hanya hidup kami
sekitar kami ada mereka yang membantu
bukan lain
tetapi mereka lah insan di bawah naungan zahir ukhwah kami
terima kasih ALLAH
ini kurniaan terbesar Mu


p/s: Sekitar pertandingan bowling 2009. Barisan ajk dan pihak penganjur. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan ALLAH swt hasil kerjasama kesemua ahli yang terlibat.

BOHSIA DISAYANGI


Artikel asal diperolehi [di sini]


“…saya mahu setiap rakyat Malaysia mempunyai modal insan iaitu personaliti yang tinggi hemahnya, tinggi budinya, tinggi pengajiannya, tinggi kejayaannya dalam apa juga bidang yang diceburi, hatta menjadi seorang yang gemilang. Ini kerana, anak kunci kecemerlangan ialah disiplin dan jati diri seseorang individu. Ini akan mendorong kecemerlangan diri, keluarga, masyarakat dan negara,”.

Sumber: Ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 2005


Inilah hasrat dan harapan besar pimpinan terdahulu kepada rakyat Malaysia. Namun, sejak kebelakangan ini, adakah kita semakin menghampiri impian itu? Hari ini umat Islam disibukkan dengan isu keruntuhan akhlak muda-mudi. Adakah ia benar-benar berlaku di dalam masyarakat? Ya, memang berlaku, bahkan sampai ke peringkat boleh menggugat keutuhan peribadi umat Islam keseluruhannya.


Berita tentang anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa, bahkan sampai ke peringkat mencedera dan membunuh mereka. Berlakunya gejala bohsia, pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan sehingga melahirkan anak luar nikah, remaja dirosakkan oleh bahan-bahan yang membahayakan tubuh badan seperti dadah, ganja, gam, ubat batuk dan sebagainya, bahkan kita sudah mendengar ada kanak-kanak sekolah yang mencederakan rakan sekolah dan kejadian melawan guru sehingga mahu membakar rumah guru dan sekolah, bukanlah suatu yang pelik pada hari ini.



Salah satu masalah keruntuhan akhlak yang semakin serius menular dalam posisi remaja perempuan ialah bohsia. Atas kesedaran inilah, Serikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) memfokuskan lensa kepada golongan ini. SIGMA bersedia untuk mendekati dan membantu untuk pulihkan keadaan. Sudah menjadi tanggungjawab kami menjadi insan yang soleh dan muslih.


Tak kenal maka tak cinta. Istilah bohsia berasal daripada bahasa Hokkien yang beerti “senyap, sunyi dan diam-diam”. Apa yang dimaksudkan ialah ada orang tetapi tidak bercakap.


Dari segi istilah pula bermaksud satu kegiatan di mana ada sekumpulan orang wanita muda yang berusia muda berada di tempat sunyi dan gelap. Mereka ini menunggu mana-mana lelaki yang akan mengambil mereka untuk tujuan maksiat dan mungkin mengadakan zina. Golongan bohsia ini juga diistilahkan sebagai “tiada guna lagi” , mungkin kerana mereka ini mudah untuk di bawa ke mana-mana dengan bebas. Ada juga segelintir yang mengelarkan mereka ini “anak abu” dan juga “anak rewang”. Jelasnya bohsia ini terdiri daripada mereka yang berusia remaja yang mengamalkan seks bebas untuk tujuan keseronokan.


Manakala gadis bohsia pula boleh dikategorikan kepada 3 peringkat : Peringkat tertinggi yang menjalankan kegiatan mereka di disko-disko. Peringkat sederhana iaitu remaja yang mengikut mana-mana lelaki yang datang mengambil mereka dengan kereta. Peringkat terendah yang dinamakan bohsia motor (minah rempit) yang mana gadis tersebut berpeleseran dengan membonceng motosikal.


Golongan ini berpeleseran bukan untuk mendapat kewangan seperti mana tujuan utama pelacur tetapi sekadar untuk keseronokan semata-mata. Musnahnya golongan pelapis Negara. Secara psikologi, bohsia atau juga lebih sinonim dengan remaja perempuan liar yang terpaksa berdepan dengan konflik diri yang tidak diselesaikan dengan baik pada zaman kanak-kanak atau remaja.


Sering kali berlaku pengalaman traumatik pada masa lampaunya seperti dikasari. Begitu juga, mereka terdedah dengan lingkungan atau trauma yang tidak menyenangkan seperti kedudukan ekonomi yang membuatnya berasa rendah diri.


Mengatasi kenakalan remaja bererti menatang kembali emosi remaja yang terkoyak itu. Trauma dalam hidupnya harus diselesaikan, konflik psikologi yang tergantung harus dileraikan. Mereka harus diberi lingkungan yang berbeza daripada sebelumnya. Oleh itu, kenali mereka, rawati mereka, dan didiklah mereka sebaik-baiknya. Mereka juga manusia biasa seperti kita yang melakukan kesalahan dan perlukan bimbingan.


"Melangkah dan terus melangkah mendekati remaja menyayangi bohsia"

Sebahagian kegembiraan AJK Nisa' Gombak setelah tamat program. Sebahagian kegembiraan lagi disimpan sebelum pulang. Apa itu?

Pertandingan Bowling Nisa’ ’09 Piala Dato’ Dr. Hasan Ali telah berakhir dengan kumpulan dari Putrajaya dianugerahkan sebagai juara dengan membawa pulang piala beserta wang tunai RM 500.


Pertandingan yang diadakan di Pusat Bowling Flamingo Ampang turut menyaksikan kumpulan dari Kraftangan Malaysia dan Nisa’ Ampang dengan masing-masing sebagai naib johan dan tempat ketiga.


Tahun ini, Nisa’ Gombak selaku penganjur telah menerima penyertaan sebanyak 20 kumpulan dari pelbagai agensi dan individu berkumpulan. Selain Kraftangan Malaysia, turut serta ialah Pasti Gombak, Riezma Group, Lembaga Kemajuan Perempuan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Kg. Kerdas, Nisa’ Ampang, Nisa’ Wangsa Maju dan Nisa’ Gombak.


Program Tahunan Nisa’ Gombak ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Dr. Hasan Ali, ADUN Pusat Khidmat Masyarakat Gombak Setia. Upacara perasmian semakin menarik dengan acara gimik balingan bola oleh YB Dato’ Dr. Hasan Ali sendiri.


Dalam ucapannya, beliau menasihati peserta agar sentiasa berakhlak mulia dalam apa juga disiplin kehidupan sehari-hari. Menurutnya, pakaian menutup aurat bukan kekangan untuk beraktiviti. Harapan beliau agar program sebegini diteruskan sebagai medium sihat untuk memperkenalkan Islam kepada masyarakat.


Peserta Bowling Nisa' 09 bergambar sambil mengangkat ibu jari. Ada juga mengangkat jari telunjuk & jari hantu.


Puan Arfifah@muallimah Arfifah selaku Ketua Nisa' gombak menyampaikan ucaptama. "Faham tak semua anak murid?"


Penyampaian cenderahati dari Nisa' kepada YB Dato' Dr. Hasan Ali, sebagai penghargaan selaku perasmi & penganjur bersama.


AJK Bowling Nisa' 09 tersenyum lebar bergambar setelah perut diisi dengan makanan enak Restoran Thai. Terima kasih kepada Kak Uzai yang belanja kami. Terima kasih daun keladi, kalau boleh nak macam ni lagi. Hihi...

Dr. Uzaimah (Kak Uzai) bersama dengan salah satu pasukan pemenang.


Inilah sebahagian lagi kegembiraan kami. Kenyang perut suka hati. Majlis meraikan kejayaan Bowling Nisa' 09 di Restoran Thai...juga meraikan ukhuwwah yang sering dirindui selalu.

Nisa ' Gombak selaku penganjur program mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh tenaga penggerak dan peserta-peserta yang terlibat. Tidak lupa kepada penganjur bersama iaitu ADUN Pusat Khidmat Masyarakat Gombak Setia, Dato' Dr. Hasan Ali dan Helwa Gombak Setia.

Ada rezeki, jumpa lagi tahun hadapan.

"MAJULAH SUKAN UNTUK IBADAH"




NISA' BOWLING 09


>>> Klik Imej untuk saiz yang lebih besar

;;