BOHSIA DISAYANGI


Artikel asal diperolehi [di sini]


“…saya mahu setiap rakyat Malaysia mempunyai modal insan iaitu personaliti yang tinggi hemahnya, tinggi budinya, tinggi pengajiannya, tinggi kejayaannya dalam apa juga bidang yang diceburi, hatta menjadi seorang yang gemilang. Ini kerana, anak kunci kecemerlangan ialah disiplin dan jati diri seseorang individu. Ini akan mendorong kecemerlangan diri, keluarga, masyarakat dan negara,”.

Sumber: Ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 2005


Inilah hasrat dan harapan besar pimpinan terdahulu kepada rakyat Malaysia. Namun, sejak kebelakangan ini, adakah kita semakin menghampiri impian itu? Hari ini umat Islam disibukkan dengan isu keruntuhan akhlak muda-mudi. Adakah ia benar-benar berlaku di dalam masyarakat? Ya, memang berlaku, bahkan sampai ke peringkat boleh menggugat keutuhan peribadi umat Islam keseluruhannya.


Berita tentang anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa, bahkan sampai ke peringkat mencedera dan membunuh mereka. Berlakunya gejala bohsia, pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan sehingga melahirkan anak luar nikah, remaja dirosakkan oleh bahan-bahan yang membahayakan tubuh badan seperti dadah, ganja, gam, ubat batuk dan sebagainya, bahkan kita sudah mendengar ada kanak-kanak sekolah yang mencederakan rakan sekolah dan kejadian melawan guru sehingga mahu membakar rumah guru dan sekolah, bukanlah suatu yang pelik pada hari ini.



Salah satu masalah keruntuhan akhlak yang semakin serius menular dalam posisi remaja perempuan ialah bohsia. Atas kesedaran inilah, Serikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) memfokuskan lensa kepada golongan ini. SIGMA bersedia untuk mendekati dan membantu untuk pulihkan keadaan. Sudah menjadi tanggungjawab kami menjadi insan yang soleh dan muslih.


Tak kenal maka tak cinta. Istilah bohsia berasal daripada bahasa Hokkien yang beerti “senyap, sunyi dan diam-diam”. Apa yang dimaksudkan ialah ada orang tetapi tidak bercakap.


Dari segi istilah pula bermaksud satu kegiatan di mana ada sekumpulan orang wanita muda yang berusia muda berada di tempat sunyi dan gelap. Mereka ini menunggu mana-mana lelaki yang akan mengambil mereka untuk tujuan maksiat dan mungkin mengadakan zina. Golongan bohsia ini juga diistilahkan sebagai “tiada guna lagi” , mungkin kerana mereka ini mudah untuk di bawa ke mana-mana dengan bebas. Ada juga segelintir yang mengelarkan mereka ini “anak abu” dan juga “anak rewang”. Jelasnya bohsia ini terdiri daripada mereka yang berusia remaja yang mengamalkan seks bebas untuk tujuan keseronokan.


Manakala gadis bohsia pula boleh dikategorikan kepada 3 peringkat : Peringkat tertinggi yang menjalankan kegiatan mereka di disko-disko. Peringkat sederhana iaitu remaja yang mengikut mana-mana lelaki yang datang mengambil mereka dengan kereta. Peringkat terendah yang dinamakan bohsia motor (minah rempit) yang mana gadis tersebut berpeleseran dengan membonceng motosikal.


Golongan ini berpeleseran bukan untuk mendapat kewangan seperti mana tujuan utama pelacur tetapi sekadar untuk keseronokan semata-mata. Musnahnya golongan pelapis Negara. Secara psikologi, bohsia atau juga lebih sinonim dengan remaja perempuan liar yang terpaksa berdepan dengan konflik diri yang tidak diselesaikan dengan baik pada zaman kanak-kanak atau remaja.


Sering kali berlaku pengalaman traumatik pada masa lampaunya seperti dikasari. Begitu juga, mereka terdedah dengan lingkungan atau trauma yang tidak menyenangkan seperti kedudukan ekonomi yang membuatnya berasa rendah diri.


Mengatasi kenakalan remaja bererti menatang kembali emosi remaja yang terkoyak itu. Trauma dalam hidupnya harus diselesaikan, konflik psikologi yang tergantung harus dileraikan. Mereka harus diberi lingkungan yang berbeza daripada sebelumnya. Oleh itu, kenali mereka, rawati mereka, dan didiklah mereka sebaik-baiknya. Mereka juga manusia biasa seperti kita yang melakukan kesalahan dan perlukan bimbingan.


"Melangkah dan terus melangkah mendekati remaja menyayangi bohsia"

0 Comments:

Post a Comment