NISA' PILLOW TALK



Nisa’ Gombak mengukir senyuman dan keceriaan buat kali kedua. Setelah Forum Berpaut di Dahan Cinta (BDDC) berlangsung pada November yang lalu, Nisa’ Gombak sekali lagi meraikan kejayaan untuk program Nisa’ Pillow Talk baru-baru ini. Program berlatarbelakangkan pembinaan kumpulan (team building) telah diadakan pada 20 dan 21 Disember bertempat di PASTI Pusat, Gombak dengan 20 penyertaan Ahli Jawatankuasa Nisa’ Gombak.

Objektif team building kali ini lebih tertumpu kepada pembinaan ukhuwwah antara penggerak Nisa’ Gombak. Modul dan aktivitinya berfokus kepada pembentukan jatidiri bagi melahirkan Nisa’ yang bergerak kerja dalam ruang persefahaman dan toleransi antara satu sama lain. Kesedaran terhadap hal ini mendorong Nisa’ Gombak menggunakan pendekatan ‘friendly’ sebagai tema bagi setiap aktiviti yang dijalankan.

Antara aktiviti Nisa’ Pillow Talk ialah ‘taaruf trademark’, tarian ‘khoci choki’, ‘katak lompat’, ‘straw dan gelang getah’, ‘telur tak pecah’ dan beberapa aktiviti sampingan yang lain. Para peserta yang pada asalnya malu dan segan-segan silu menjadi semakin mesra. Pendekatan program kali ini berjaya mencapai objektif ‘ice breaking’ yang bertujuan membuang perasaan malu dan rendah diri seterusnya membentuk hubungan komunikasi yang berkesan.



Sudah tentunya modul ‘Nisa Pillow Talk’ yang berlangsung pada 10.00 malam hingga 4 pagi keesokan harinya adalah yang paling istimewa. Modul ini membuka ruang interaksi yang jujur antara semua peserta sebagai proses perkenalan antara satu sama lain. Setiap peserta diminta menceritakan perihal diri masing-masing dan peserta lainnya bebas bertanya. Walaupun modul ini seperti kerap kali dijalankan sebelum ini, namun yang agak berbeza ialah peserta diminta membawa bantal bersama-sama. Kerana itulah program ini diberi nama ‘Nisa’ Pillow Talk’ dengan konsep santai dan bebas.



Berpegang kepada prinsip kesatuan ukhuwwah membentuk kesatuan jemaah, Nisa’ Gombak memandang optimis untuk mengikat kemesraan antara jawatankuasa penggerak sebagai langkah awal sebelum memulakan sebarang program pada 2009 nanti. Selaku Ketua Nisa’ Gombak, Arfifah menyatakan harapannya semasa beliau membentangkan pelan perancangan 2009, agar semua jawatankuasa memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi.



Kesempatan bertemu pada kali ini digunakan oleh Ahli Jawatankuasa Nisa’ Gombak untuk merancang gerak kerja bagi tahun 2009. Unit-unit kecil Nisa’ Gombak iaitu Unit Nisa’ News and Networking (3N), Unit Khidmat dan Kaunseling (UKK), Unit Kerjaya (UK) dan Unit Pembangunan Insan (UPI) telah merangka beberapa program yang selari dengan misi dan visi Nisa’ Persekutuan. Kejayaan program sepanjang tahun 2008 telah menjadi pendorong kepada Nisa’ Gombak untuk membangunkan organisasi ini pada tahun-tahun yang berikutnya.

Nisa’ Gombak mengalu-alukan kepada yang berminat untuk menyertai program-program mereka sepanjang tahun 2009 nanti. Sebarang maklumat program boleh diakses di laman blog Nisa’ Gombak iaitu www.nisagombak.blogspot.com.


Oleh: UNIT 3N (Nisa’, News and Network)

0 Comments:

Post a Comment